Amirudin pertahan jawatan naib presiden PKR dengan tema senada dengan Nurul Izzah

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari sah mempertahankan jawatan naib presiden PKR dengan tema kempen yang senada dengan calon timbalan presiden Nurul Izzah Anwar.

“Matlamat utama pemilihan kali ini ialah untuk membentuk suatu pasukan yang berkeupayaan melaksanakan cita-cita Reformasi serta berkhidmat dan bekerja mendukung kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia untuk penggal kedua.

“Menginsafi matlamat serta agenda ini, saya menawarkan diri bagi mempertahankan jawatan Naib Presiden KEADILAN bagi sesi tahun 2025 – 2028.

“Hasrat ini juga sejajar dengan prinsip untuk memperkukuh PKR sebagai parti politik unggul, paksi Reformasi dan teras Kerajaan Perpaduan.

“Dengan tema kempen ‘Reformasi Cita Bangsa’, saya membawa gagasan yang sejajar tema ‘Bersama Membina Parti Kita’ oleh calon Timbalan Presiden, Saudari Nurul Izzah Anwar.

“Kita ingin perligat gerak jentera serta merapatkan saf anggota PKR disamping memperkuat hubungan bersama parti komponen Kerajaan Perpaduan bagi menyusun langkah memenangi Pilihan Raya Umum ke 16.”

BACA JUGA: Pemilihan PKR: Fahmi Fadzil jadi calon MPP bukan kerana jawatan