Elak melepas geram, melondeh aib dan ‘cerai taklik’

Oleh NORMAN RADZUAN

Tahukah anda di sebalik kontroversi pemilihan parti PKR, tanpa disedari parti ini sebenarnya patut berbangga popularitinya kini setanding UMNO di era 90-an dahulu.

Peminat politik mahupun pemain politik tidak pernah menumpukan pemilihan AMANAH, UMNO, DAP, Gerakan, MCA, MIC dan parti parti Sabah Sarawak sehebat pemilihan PKR.

Ia satu tempoh yang lama dan berpanjangan. Sejak dari tahun lepas lagi ia mula diperbualkan walaupun tidak terlalu serius. Apabila pelbagai pihak berbicara soal PKR, bermakna populariti parti ini sangat hebat.

Penulis bila bertemu rakan-rakan parti komponen dari UMNO, AMANAH dan DAP, mereka sering bertanya siapa bertanding?

Pemilihan PKR parti yang baru berusia 26 tahun menjadi tumpuan yang di luar jangka. Padahal, pemilihan DAP baru-baru ini, kita hanya mendengar ulasan penganalisis politik sahaja dan beberapa hari selepas itu senyap begitu sahaja.

Parti PKR bermula dengan hiruk-pikuk ahlinya hingga berjangkit kepada pimpinan parti kawan dan lawan.

Melepas geram

Ahli-ahli PKR saling membuka aib parti untuk melepaskan geram rasa ketidak puasan hati. Keaiban yang dibuka itu telah disambut oleh penyokong parti pembangkang hinggalah kepimpinan.

Bayangkan sehingga hari ini, kita tidak pernah mendengar penganalisis, pemimpin politik atau peminat politik berbicara mengenai pemilihan Pas tidak lama lagi yang dijangka September ini?

Tiada siapa ambil peduli sedangkan pemilihan PKR sudah dibicarakan sejak tahun lepas lagi. Apa yang terjadi mengimbau saya kepada memori penghujung 80-an dan 90-an, pemilihan UMNO yang sangat kontroversi hingga berlaku perpecahan dan pengharaman parti tersebut.

Ketika ini segala isu kontroversi hilang begitu sahaja. Tiada siapa ambil peduli lagi pasal Ayer Kuning, tiada siapa ambil peduli lagi isu Kampung Baru.

Sebab itu, pembangkang ketika ini tidak menyerang kerajaan kerana tahu jika mereka bertindak agresif sekalipun ia hanya merugikan. Isu itu akan tenggelam dan berlalu begitu sahaja.

Anda boleh lihat ketika ini berlaku peperangan Pakistan dan India. Berita peperangan itu pun tenggelam begitu sahaja.

Rakyat Malaysia lebih tertumpu peperangan team Rafizi yang dilihat agak agresif melawan team Nurul Izzah dilihat agak pasif untuk melawan serangan yang dilihat lebih kepada ‘character assassination’.

Melondeh aib

Kontroversi terkini tidak ubah sepertimana berlaku kepada kem Azmin Ali dan Rafizi 2018 dahulu. Ia bermula dari pentaksub-pentaksub pengikut kedua-dua pemimpin tersebut.

Cuma penulis merasakan calon dan ahli-ahli parti kedua-dua penyokong perlu lebih tenang dan jangan sampai melondehkan keaiban ahli parti di pentas terbuka atau media massa.

Ketidakpuasan pihak yang kalah perkara biasa oleh mana mana parti. Tetapi membuka ‘aib parti’ di pentas terbuka saban hari dilihat tidak professional.

Akhirnya tanpa disedari ia hanya memberi bola tanggung kepada lawan iaitu parti pembangkang.

Isunya sekarang, adakah ahli PKR berjuang atas nama individu tokoh yang disanjungi atau bersama-sama ingin membawa perubahan bersama rakyat?

Bukankah juga perjalanan lebih dua tahun ini telah menampakkan reformasi tata kelola kerajaan yang dikemudi oleh PKR di mana Presiden mereka adalah Perdana Menteri?

‘Cerai taklik’

Yang menjadi tanda tanya, adakah perang dalam selimut ini boleh meletusnya perang saudara di dalam PKR sekaligus mengubah lanskap pentadbiran politik negara?

Penulis menjangkakan kontroversi pemilihan ini tidak akan berakhir sebaik selesai keputusan pemilihan pusat sepertimana berlaku kepada parti parti lain, malah lebih parah.

Andai kata Nurul Izzah tewas barangkali hanya kekecewaan buat dirinya dan penyokong sahaja, kerana penulis belum lagi mendengar sebarang komen daripada Nurul Izzah untuk mengundurkan diri andai beliau kalah.

Andaikata Rafizi tewas, malam tadi beliau telah melafazkan ‘cerai taklik’ jawatannya sebagai Menteri.

Ia pasti menimbulkan polemik baru dalam politik negara yang pastinya sedikit sebanyak pasti menganggu fokus PMX dalam mereformasikan negara.

Tindakan Rafizi melafazkan ‘cerai taklik’ dengan jawatannya sebagai Menteri menurut rakan akademik, satu tindakan tidak profesional dan seolah-olah satu ugutan.

Sedangkan jawatan parti bukan indikator seseorang itu boleh menjadi menteri atau tidak.

Kita tunggu episod seterusnya di mana para penganalis dan rakan media pasti tersenyum melihat perkembangan ini.

Ini kerana pengalaman penulis dalam bidang kewartawanan… ‘Masalah (kontroversi) anda adalah perniagaan kami.

BACA JUGA Mulanya 36 tapi 28 ahli PKR dipecat, ini sebabnya