Jaga supaya tidak terlanjur, kata Presiden PKR
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemilihan PKR 2025 perlu dianggap sebagai satu ‘pertarungan antara rakan-rakan setia’ dalam parti.
Menurutnya, kesemua calon berkenaan harus disantuni dengan baik supaya semangat persaudaraan dalam kalangan ahli parti kekal utuh.
“Pemilihan ini antara rakan-rakan setia, yang banyak (daripadanya) tokoh reformasi.
“Oleh itu, kita kena jaga supaya tidak terlanjur kerana kita mahukan (pemilihan ini) untuk kita rangkul sebagai satu kekuatan,” kata beliau.
Anwar berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah di Tawau hari ini.
Selain itu, beliau mengingatkan penyokong kepada pihak yang bertanding untuk tidak ‘terlajak’ (berlebihan) kerana ia boleh mengeruhkan keadaan.
“Ini (PKR) persaudaraan yang harus diperkukuh… selesai sahaja Kongres (Kongres Nasional PKR) kita harus bekerja sebagai satu pasukan yang padu,” tambah beliau lagi.
BACA JUGA Rupanya ‘mat pet’ punya angkara kes pecah cermin kenderaan Pejabat MP Sri Gading