Rupanya ‘mat pet’ punya angkara kes pecah cermin kenderaan Pejabat MP Sri Gading
Seorang lelaki disahkan positif dadah ditahan kerana dipercayai memecahkan cermin kenderaan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan.
Ketua Polis Batu Pahat, Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata kejadian kira-kira 11 pagi semalam itu berlaku di depan pusat khidmat berkenaan di Parit Yaani.
“Siasatan awal mendapati suspek menaiki motosikal sebelum memecahkan cermin kenderaan yang digunakan kakitangan pusat khidmat berkenaan.
“Suspek lelaki tempatan berusia 37 tahun ditahan kira-kira 3 petang pada hari sama di sebuah rumah di Tongkang Pechah.
“Turut dirampas kenderaan, pakaian dan peralatan dipercayai digunakan semasa kejadian,” menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Beliau berkata, hasil saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan kini direman empat hari hingga 14 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
BACA JUGA Elak melepas geram, melondeh aib dan ‘cerai taklik’