Kereta rasmi dipecah, MP Sri Gading seru henti politik taksub melampau
Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan memaklumkan kereta Toyota Estima yang beliau gunakan sebagai kenderaan rasmi di kawasan diwakilinya itu telah dipecah dan dirosakkan oleh pelaku yang tidak dikenali.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor berkata, kejadian itu berlaku kira-kira 11 pagi semalam.
“Pegawai saya cuba mengejar pelaku tetapi tidak berjaya, namun begitu nombor plat motor pelaku berjaya direkodkan.

“Satu laporan polis, telah dibuat oleh pegawai pejabat saya sejurus selepas itu di Balai Polis Yong Peng.
“Saya mengucapkan setinggi terima kasih kepada pihak IPD Batu Pahat yang bertindak pantas dan saya telah difahamkan semalam juga (sabtu) tangkapan telah pun dibuat,” ujarnya.
Sehubungan itu, Aminolhuda yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor berharap insiden tersebut tidak akan berulang kepada sesiapa sahaja terutamanya pimpinan parti politik.
“Saya menyeru agar kita semua berpolitik secara berhemah, bijaksana dan matang dalam mengurus perbezaan pendekatan kepada ahli masing-masing, serta tidak bersikap taksub melampau apatah lagi sehingga sanggup merosakkan keharmonian dan tatasusila budaya negara ini,” kata beliau lagi.
BACA JUGA “UMDAP Mantap” kini sumpahan buat PN