“UMDAP Mantap” kini sumpahan buat PN

Penganalisis Datuk Dr. Noor Azizan Abdul Majid berpendapat tohmahan “UMDAP Mantap” yang sering dilaungkan oleh Perikatan Nasional (PN) kini menjadi sumpahan buat blok dianggotai Pas dan Bersatu itu.

Beliau menyifatkan “UMDAP Mantap” adalah satu cubaan putus asa untuk memecah-belahkan kekuatan dalaman UMNO.

Menerusi kenyataan sempena Hari Ulang Tahun ke-79 UMNO hari ini, beliau berkata, naratif tersebut dibina semata-mata untuk menanam keraguan dan membakar emosi pengundi Melayu agar
menjauhi UMNO, kononnya kerana ia ‘sudah tunduk’ kepada DAP.

“Namun realitinya, UMNO tampil bertanggungjawab, menolak politik dendam dan sanggup berkorban ego demi kestabilan negara.

“Kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan adalah hasil mandat Yang di-Pertuan Agong dan keperluan mendesak untuk menyelamatkan negara dari ketidakstabilan politik berpanjangan,” katanya.

Bahkan, beliau menegaskan tohmahan tersebut kini berpatah balik kepada PN sendiri apabila gagal menunjukkan kestabilan di negeri-negeri yang ditadbir, berdepan perpecahan dalaman, dan masih bergelut dengan imej ekstrem.

“Rakyat semakin celik bahawa retorik perkauman dan kebencian tidak membawa kemakmuran.

“Akhirnya, “UMDAP Mantap” menjadi igauan ngeri buat PN – kerana ia tidak memecahkan UMNO, malah mengeratkan saf dan meneguhkan kesedaran ahli bahawa inilah saat untuk bangkit dengan lebih matang dan rasional,” katanya.

Noor Azizan menambah tohmahan PN itu juga tidak mengakibatkan UMNO tunduk dan terpecah sebaliknya parti tersebut menjadi bertanggungjawab dan semakin bersatu.

BACA JUGA Sempena Hari Ulang Tahun ke-79 UMNO hari ini: Apa pesan Ahmad Zahid Hamidi?