Sempena Hari Ulang Tahun ke-79 UMNO hari ini: Apa pesan Ahmad Zahid Hamidi?
Sempena ulang tahun Umno ke-79 hari ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengajak semua ahli terutama generasi muda untuk terus menyuburkan semangat juang dan bangkit bersama parti itu.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkenaan berkata, ahli UMNO harus memperbaharui tekad dan iltizam serta mempertahankan legasi dan warisan selain bersiap-siaga untuk memimpin Malaysia ke arah masa depan yang lebih progresif dan adil.
“UMNO sudah melalui hampir lapan dekad perjuangan.
“Insya-Allah, dengan kesatuan dan keberanian kita akan terus membawa UMNO ke abad yang kedua sebagai parti yang membina, bukan membinasakan!” kata beliau menerusi hantaran di Facebook malam tadi.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, UMNO adalah wadah perjuangan rakyat yang lahir daripada semangat kebangsaan, keikhlasan dan keberanian anak watan yang menolak penjajahan bagi menuntut kemerdekaan.
Malah sejak 1946, Ahmad Zahid berkata, UMNO menjadi tiang seri kepada pembentukan negara bangsa Malaysia.
“Walaupun diuji dengan pelbagai cabaran seperti perpecahan, persepsi, politik fitnah dan gelombang perubahan, UMNO tidak pernah lari daripada tanggungjawabnya.
“Bahkan hari ini, UMNO kembali menjadi tunjang kestabilan dalam Kerajaan Perpaduan, memperjuangkan agenda pembangunan yang inklusif dan sejahtera untuk seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Menurutnya, 79 tahun bukanlah usia yang kecil dan ia adalah lambang kematangan dan kekuatan akar perjuangan selain telah melahirkan generasi pemimpin, membangunkan institusi, menegakkan keadilan sosial dan memberi harapan kepada rakyat di kota mahupun di desa.
Pagi ini, UMNO menyambut ulang tahun ke-79 di Dewan Tun Hussein Onn Aras 2, World Trade Centre (WTC).
BACA JUGA Fitnah oleh pemilik akaun TikTok OMGSekMung, apa kata Mujahid yang difitnah?