LIMA 2025 cermin komitmen Malaysia sebagai hab teknologi maritim, aeroangkasa
Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA 2025) yang akan berlangsung pada 20 Mei depan mencerminkan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuh kedudukan negara sebagai hab teknologi maritim dan aeroangkasa di peringkat global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan agar LIMA kali ini memberi penekanan kepada pemerkasaan syarikat tempatan khususnya perusahaan kecil dan sederhana, agar dapat menembusi pasaran antarabangsa melalui inovasi.
Beliau berkata, LIMA 2025 akan memangkin pertumbuhan ekonomi dengan menarik pelaburan langsung asing dan merancakkan pelancongan serta perdagangan luar negara.
“LIMA 2025 bukan sekadar pameran aset dan teknologi, tetapi medan strategik untuk membina kerjasama antara kerajaan, industri dan institusi pendidikan.
“(Caranya adalah) dengan menghimpunkan pemain utama dalam sektor pertahanan dan penerbangan komersial, termasuk dalam bidang MRO, IoT, satelit dan teknologi angkasa.
“YAB Perdana Menteri mendoakan agar semua urusan persediaan berjalan lancar, dan mengalu-alukan kehadiran pempamer, pelabur dan pelawat dari dalam dan luar negara untuk menjayakan LIMA 2025 sebagai antara edisi yang bermakna dalam sejarah penganjurannya,” kata Setiausaha Politik Kanan Anwar dalam satu taklimat harian hari ini.
BACA JUGA Surat saman Khalid dah siap tapi Rafidah masih ‘menghilang’