Selepas jenuh dikecam, Pas jawab “kekhilafan teknikal yang tidak disengajakan”

Pas Terengganu akhirnya memohon maaf selepas orang ramai mengecam penggunaan imej Jalur Gemilang pada logo Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT) 2025 yang tidak cukup bucu bintang.

Menerusi kenyataan , urusetia program itu merakamkan permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat dan penyokong atas “kekhilafan teknikal yang tidak disengajakan” itu.

Sehubungan itu, logo sebelum ini telah ditarik balik dan digantikan dengan versi logo baharu HTMT 2025 yang telah diperbetulkan dan akan digunakan dalam semua bahan promosi dan siaran rasmi selepas ini.

Terdahulu, warganet heboh mengkritik Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar apabila memuat naik logo program itu yang hanya mempunyai 11 bucu bintang Jalur Gemilang.

Sepatutnya, wajib ada 14 bucu yang membawa maksud lambang perpaduan 13 negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Kesalahan penggunaan Jalur Gemilang pada logo program anjuran Pas itu menjadi bualan memandangkan dijangka riuh rendah jika pemimpin kerajaan atau mana-mana pihak lain yang melakukan kesalahan sama.

Sebaliknya, penyokong Pas dilihat berdiam diri apabila pemimpin mereka yang berbuat demikian.

“Beginilah bila perjuangan tak konsisten. Salah orang lain cepat nampak. Salah sendiri, tutup mata dan pura-pura suci.

“Pas selalu kata mereka perjuangkan Melayu dan Islam. Tapi bila bucu bintang pun tak cukup ni apa perjuangan mereka sebenarnya. Bucu bintang pun boleh salah. Apa lagi dasar?” kecam pengguna Facebook, Muhayudin Salleh.

BACA JUGA 8 Setpol Abang Johari lapor polis pengguna FB buat hantaran menghina