Vokalis Skinhead dibelasah sebab salam tak cium tangan
Seorang vokalis sebuah kumpulan muzik ‘skinhead’ dipukul beramai-ramai oleh individu tidak dikenali hanya kerana bersalaman tanpa mencium tangan individu lebih berusia daripadanya.
Rakaman video berdurasi satu minit itu tular, memaparkan sekumpulan lelaki bertindak menahan, mengheret serta memukul seorang individu dipercayai vokalis kumpulan tersebut.
Susulan itu polis memaklumkan telah memulakan siasatan terhadap insiden itu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Sean Selamat berkata, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan juga Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
“Pihak polis telah dimaklumkan berhubung kejadian ini semalam dan memulakan siasatan sejurus laporan dibuat.
“Kami turut menggesa mangsa atau mana-mana saksi untuk tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan,” katanya memetik Kosmo! hari ini
Terdahulu rakaman video menunjukkan salah seorang daripada suspek bertindak menggunakan tong sampah besi untuk memukul mangsa tanpa belas kasihan.
Menurut satu kenyataan dimuat naik di media sosial, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa tidak mencium tangan ketika bersalaman dipercayai dengan salah seorang daripada kumpulan lelaki terbabit
BACA JUGA Aksi ibu gajah meratapi kematian anaknya runtun hati ramai