Wan Mahussin jawab LOD MB Kelantan, ini jawapannya
Ketua Penerangan UMNO Bahagian Jeli, Wan Mahussin Wan Hussin menempelak Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud yang telah memberikannya surat tuntutan atau Letter Of Demand (LOD).
Wan Mahussin menegaskan bahawa beliau tidak akan mendiamkan diri walaupun telah dituntut Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kelantan yang juga digelar Panglima Perang itu.
“Dia (Nassuruddin) tidak mahu saya cakap pasal dia…
“Jadi, dia hantar LOD itu tujuannya supaya saya duduk diam,” katanya.
Walaupun tuntutan Nassuruddin menerusi LOD itu sudah berlalu seminggu, Wan Mahussin memberitahu dirinya tidak mempedulikan hal tersebut.
“Sudah tujuh hari saya tidak layan sebab saya nak lawan. Ini baru betul singa. Dulu saya pergi majlis Hari Raya dia di Kota Bharu, kita cabar dia, dia tolak,” katanya.
Sementara itu, dalam satu hantaran di Facebook, Wan Mahussin berkata, “sejarah bakal tercatat” dalam apa yang ditegaskannya sebagai “keadilan menutup kebatilan”.
Beliau turut menyifatkan pertembungan mereka sebagai “bermulalah perlawanan Menteri Besar Kelantan Panglima Perang menentang Wan Mahussin Rakyat Kelantan.”
Terdahulu, Wan Mahussin dikenali secara terbuka mengkritik pentadbiran Pas di Kelantan, termasuk isu penebangan balak, pembangunan yang tidak terancang, dan cadangan menjadikan banjir sebagai produk pelancongan.
Pemimpin muda berkenaan pernah mendakwa bahawa kerajaan Pas Kelantan tidak berusaha menyelesaikan masalah banjir yang berlarutan lebih 30 tahun dan menambah beban kepada rakyat.
Kerajaan Pas Kelantan juga pernah digegarkan dengan pendedahan Wan Mahussin mengenai pemberian sagu hati oleh AKSB sebanyak RM10,000 kepada semua ahli lembaga pengarah dan RM200 kepada semua kakitangan syarikat.
Pendedahan itu mencetuskan kontroversi kerana AKSB menghadapi tunggakan bil Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebanyak RM35 juta dan masalah bekalan air yang berterusan di Kelantan.
BACA JUGA Selepas jenuh dikecam, Pas jawab “kekhilafan teknikal yang tidak disengajakan”