Anthony Loke arah tubuh pasukan khas siasat terperinci nahas trak FRU
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke merakamkan ucapan takziah kepada keluarga anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam nahas di Teluk Intan.
Loke dalam satu kenyataan hari ini berkata, beliau telah pun mengarahkan supaya satu pasukan tugas khas bebas ditubuhkan bagi menyiasat insiden ini secara menyeluruh.
Pasukan ini akan dibentuk daripada pakar-pakar selain pegawai-pegawai MOT sendiri.
“Ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian serta merangka langkah pencegahan yang berkesan agar tragedi seumpama ini tidak berulang pada masa hadapan,” katanya sebentar tadi.
Beliau turut mendoakan agar keluarga mangsa diberi ketabahan menghadapi dugaan ini.
Terdahulu polis mengesahkan sembilan anggota maut dalam nahas dirempuh sebuah lori pasir.
Kesemua mangsa merupakan anggota lelaki berusia di antara 28 dan 46 tahun, terdiri daripada tujuh beragama Islam serta dua berketurunan India dan Orang Asli.
Siasatan mendapati pemandu lori terbabit merupakan seorang lelaki berusia 45 tahun yang mempunyai enam rekod kesalahan lampau termasuk berkaitan penyalahgunaan dadah.
BACA JUGA Saksi dengar suara meraung dan tangisan selepas trak FRU dilanggar lori pasir