Saksi dengar suara meraung dan tangisan selepas trak FRU dilanggar lori pasir
Seorang saksi tampil menceritakan semula bagaimana saat kejadian yang mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampam, pagi tadi.
Saksi, Noor’ Ain Asyiqin Abdul Khalel, 39, berkata, pada awalnya dia melihat sebuah ori pasur seperti sedang mengelak dari melanggar sebuah kenderaan yang mahu keluar simpang.
Sewaktu kejadian itu juga, dua trak FRU dari arah Teluk Intan menghala ke Tapah sudah pun melepasi lori berkenaan.
Namun secara tiba-tiba dia terdengar bunti dentuman kuat sebelum melihat anggota FRU yang berada di hadapan, turun dari kenderaan dan berlari ke arah tempat kejadian.
Pada waktu itu baru dia sedar bahawa lori muatan berat berkenaan sebenarnya telah merempuh trak FRU yang lain.
“Bila dengar dentuman kemalangan, saya nampak anggota FRU yang berada di hadapan, turun dari kenderaan dan berlari ke arah tempat kejadian.
“Mereka cuba nak selamatkan rakan-rakan. Ketika itu juga saya dengar bunyi meraung dan tangisan. Keadaan ketika itu agak kelam-kabut dengan jalan sesak sebab tiada orang nak jaga.
“Ada juga dengar mereka jerit Allahuakbar. Sedih memikirkan macam mana keadaan anak isteri mangsa,” katanya menurut Harian Metro yang menemui saksi berhampiran lokasi kejadian itu.
Katanya, situasi sangat sayu kerana kemalangan sering berlaku di lokasi itu namun tidak membabitkan kehilangan banyak nyawa serentak seperti kejadian hari ini.
Salah seorang penduduk yang sempat melihat kejadian itu berkata, suasana waktu itu amat pilu dan menyedihkan apabila mendengar rintihan dan tangisan, dengan mangsa yang ada daripadanya berlumuran darah.
BACA JUGA Menyedihkan 8 anggota FRU maut, ini puncanya