Kritikan Rafizi Ramli: Ramanan pilih untuk berdiam diri, kenapa?
Timbalan ketua penerangan PKR Datuk Seri R Ramanan memilih untuk berdiam diri di kala berdepan tuduhan daripada timbalan presiden Datuk Seri Rafizi Ramli.
“Saya tidak dibenarkan menjawab kerana mengikut peraturan parti ketika mesyuarat pimpinan pusat, Datuk Seri presiden mengarahkan kami, para ahli, supaya tidak menyerang satu sama lain.
Oleh itu, saya tidak boleh menjawab isu tersebut kerana saya mungkin dipersalahkan atas tuduhan menyerang anggota parti,” kata beliau kepada media seusai perjumpaan dengan pimpinan PKR Perak.
Rafizi baru-baru ini mendakwa bahawa Ramanan tidak biasa dengan budaya parti PKR berkaitan menjaga akar umbi kerana Ramanan mantan ahli MIC.
Rafizi menuduh Ramanan mengamalkan budaya sogokan wang yang kononnya diamalkan dalam parti terdahulu.
Timbalan presiden MIC Datuk Seri M Saravanan telah pun menempelak kenyataan Rafizi.
“Saya sudah lama dalam majlis pimpinan pusat. Dalam penggal sebelum ini saya berkhidmat sebagai timbalan pengarah strategi,” Ramanan menerangkan.
“Sekarang pun saya berada di dalam majlis pimpinan pusat sebagai timbalan ketua penerangan.
“Saya tidak mahu jawab. Ia sukar untuk dijawab.”
BACA JUGA: Pemilihan PKR: ‘Beristiqamahlah dan berkempen di atas paksi setiakawan’