Memorandum diteliti, Dr Dzulkefly arah KKM kaji semula tuntutan doktor swasta

Pengurusan Tertinggi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diarah untuk mempertimbang serta mengkaji semula tuntutan pegawai perubatan am (GP) swasta secara adil dan telus dengan mengambil kira kepentingan industri dan rakyat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, memorandum tersebut mengandungi dua tuntutan membabitkan kebimbangan terhadap pelaksanaan Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Ubat) 2025 (Akta 723); serta yuran rundingan doktor perubatan swasta yang tidak disemak sejak 2006.

Oleh itu katanya, beliau bersama-sama pengurusan tertinggi KKM akan melihat bagaimana tuntutan tersebut boleh dipenuhi.

Khususnya cadangan agar peraturan ke atas ubat-ubatan diperuntukan di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) yang dikawal selia oleh KKM berbanding Akta 723 di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Kos Sara Hidup (KPDN).

“Semakan semula Jadual 7 dalam Akta 586 (komponen fi) telah sampai ke fasa akhir dan pengumuman kadar baharu akan dibuat dalam masa terdekat.

“Saya mengalu-alukan cadangan penambahbaikan daripada semua pihak yang terkesan menerusi saluran rasmi di laman sesawang KKM, khususnya sepanjang tempoh tegang (grace period) selama tiga bulan bagi tujuan educational enforcement yang berkuat kuasa sejak 1 Mei 2025,” ujarnya dalam satu kenyataan malam ini.

Pada masa sama Dr Dzulkefly berkata, kementeriannya akan sentiasa berusaha untuk menambah baik ekosistem institusi kesihatan berpandukan nilai teras MADANI iaitu kesejahteraan rakyat serta kemampanan komuniti perubatan dalam menaik taraf kualiti hidup rakyat.

BACA JUGA Nahas trak FRU: Waris diberi jaminan terima pampasan, bantuan kewangan – Ayob Khan