UM ambil langkah berani ke arah berdikari sepenuhnya tanpa harapkan Putrajaya

Universiti Malaya (UM) sedang mengorak langkah lebih berani ke arah untuk mencapai tahap berdikari atau autonomi kewangan tanpa perlu lagi bergantung sepenuhnya kepada kerajaan.

Naib Canselornya, Prof Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman menyebut bahawa UM sebuah universiti yang cukup lama perlu lebih kreatif menggunakan kekuatan yang ada di dalam universiti.

“Sebagai sebuah universiti yang sudah lama, sudah matang, sepatutnya bergerak ke arah autonomi yang tidak mengharapkan bantuan sepenuhnya daripada kerajaan.

“Jadi, UM perlu berfikir secara kreatif bagaimana hendak menggunakan kelebihan yang ada dalam universiti untuk menjadikan universiti ini berautonomi,” katanya menurut Bernama selepas hadir ke sesi strategik media UM bersama pengurusan tertinggi beberapa organisasi media tempatan hari ini.

Noor Azuan berkata pada masa ini terdapat kira-kira 1.2 juta mahasiswa di seluruh negara dengan 600,000 menuntut di 20 universiti awam manakala selebihnya di lebih 300 institusi swasta.

“Sehubungan itu, universiti perlu kreatif dalam mendapatkan dana tanpa kita mengabaikan aspek kualiti dan untuk itu, promosi daripada media dan pengiklanan juga sangat penting untuk menarik minat mahasiswa antarabangsa datang ke Malaysia,” katanya.

Langkah UM ini selari dengan trend global di mana banyak universiti terkemuka dunia bergerak sendiri dengan penglibatan kerajaan yang sangat sedikit supaya mereka boleh lebih fleksibel dan pantas bergerak dalam dunia akademik yang kompetitif.

BACA JUGA Memorandum diteliti, Dr Dzulkefly arah KKM kaji semula tuntutan doktor swasta