Apa cerita 13 remaja kes bunuh pelajar kolej vokasional?
Hakim Mahkamah Tinggi Tawau, Datuk Duncan Sikodol hari ini menetapkan tarikh 11 Jun depan untuk keputusan membabitkan 13 remaja berusia 16 hingga 19 tahun yang dituduh membunuh pelajar Kolej Vokasional (KV) Lahad Datu, Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan pada Mac tahun lalu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif memaklumkan kepada mahkamah bahawa semua pihak telah memfailkan hujahan bertulis masing-masing dan pihak pendakwaan sendiri telah memfailkan hujahan pada pagi ini.
Nur Nisla bagaimanapun memohon tarikh baharu untuk pihaknya memfailkan hujahan balas berikutan peguam mewakili beberapa tertuduh memfailkan hujahan lewat.
Susulan itu, Duncan mengarahkan pihak pendakwaan memfailkan hujahan balas sebelum atau pada 21 Mei depan sebelum menetapkan tarikh tentatif untuk keputusan pada 11 Jun ini.
Kesemua 13 remaja terbabit dituduh bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat, atau Ijat di KV Lahad Datu, pada jam 9 malam 21 Mac hingga 7.38 pagi 22 Mac tahun lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pasukan pembelaan pada 15 April lalu, menutup kes mereka selepas memanggil 18 saksi memberi keterangan pada perbicaraan peringkat bela diri.
Lapan daripada 13 tertuduh diwakili peguam, Kamarudin Mohmad Chinki, Datuk Ram Singh dan Chen Wen Jye.
Selebihnya, diwakili Abdul Ghani Zelika dan peguam lantikan, Vivien Thien, Jhasseny P Kang, Kusni Ambotuwo serta Mohamed Zairi Zainal Abidin.
Memijak pinggang
Pada 12 Mac lalu, tertuduh kedua dalam kes bunuh Ijat, memberitahu Mahkamah Tinggi Tawau bahawa dia menampar muka, memukul bahu, menendang dan memijak pinggang mangsa di bilik asrama 5 Belian.
Tindakannya itu bagi mendapatkan jawapan daripada mangsa berhubung kes kecurian yang dilaporkan oleh dua pelajar iaitu tertuduh pertama dan seorang pelajar yang tidak dikenali.
Pada 15 April lalu, tertuduh ke-13 memberitahu dia mengikut Ijat kembali ke bilik asrama mereka di 7 Resak selepas dibelasah di bilik asrama 5 Belian.
Katanya, pada masa itu mangsa masih ‘ok’ dan bertanyakan kenapa mangsa mencuri tetapi dia diam sahaja sambil main telefon bimbit.
“Selepas itu, dia cakap mahu pergi mandi. Saya tolong ambilkan tuala dan alat mandi, kemudian saya ke bilik asrama 1 Belian main game dan makan mi segera,” katanya.
BACA JUGA Nurul Izzah nafi berselisih faham dengan Hassan Karim