Nurul Izzah nafi berselisih faham dengan Hassan Karim
Calon Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menafikan dakwaan kononnya beliau berselisih faham dengan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.
Anak sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim itu menyifatkan Hassan sebagai seorang ‘rebel’ dengan sebab.
“Beliaulah yang kritik khidmat saya semasa di PMO (Jabatan Perdana Menteri), sebelum saya berundur dan menyerah tugasan kepada En Nurhisham Hussein, ketika itu Pengarah Ekonomi & CSO KWSP.
“Dan beliau jugalah yang menyeru saya masuk gelanggang bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden PKR.
“Marah atau tidak, tidak pernah pudar rasa hormat saya kepada Pak Hassan,” tulis Izzah menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Untuk rekod, Hassan menyertai PKR selepas 2008 dengan kali pertama bertanding pada Pilihan Raya Umum 2008 di Parlimen Johor Bahru atas tiket Parti Rakyat Malaysia (PRM) tetapi tewas.
Mengulas lanjut, Nurul Izzah yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, PKR memperoleh bantuan kewangan daripada orang ramai ketika kempen pilihan raya umum.
“Kita raih dana daripada orang ramai, untuk kita penuhi keperluan khidmat, termasuklah wang deposit, ketika PKR susah satu ketika dahulu.
“Kopi ini sememangnya keras, namun kerasnya kita tempuhi bersama.
“Selamat menunaikan ibadah haji, Pak Hassan dan isteri. Sama-sama kita saling mendoakan,” kata Izzah lagi.
BACA JUGA Tauliah mengajar: Ulama Pas didakwa berbohong