Kontroversi Jalur Gemilang: Pas Terengganu sedia disiasat

Selepas berdepan tekanan demi tekanan, berikutan kesilapan memaparkan gambar Jalur Gemilang dalam poster Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (HTMT), Pas Terengganu akhirnya akur dan sedia disiasat oleh pihak berkuasa.

Penolong setiausaha Pas Terengganu Hanafiah Mat berkata Pas tidak boleh menghalang pihak yang masih tidak berpuas hati dan berterusan mendesak agar siasatan dibuat.

“Kami sudah mengaku kesilapan, pihak urus setia program juga sudah minta maaf dan segera membetulkan kesilapan itu. Apa lagi kami boleh katakan…itu sahaja kami boleh jelaskan,” kata Hanafiah, lapor FMT.

“Amaran bertulis juga telah diberikan kepada kakitangan berkaitan,” tambahnya

Pas Terengganu telah memohon maaf secara terbuka kelmarin dan sekretariat program memaklumkan bahawa logo tersebut telah ditarik balik.

Setakat ini beberapa pemimpin dan mantan pemimpin dari PKR dan DAP telah pun mendesak agar Pas Terengganu disiasat.

Ini kerana Pas turut mengambil pendirian keras ini apabila pihak berikut terpalit dengan kontroversi Jalur Gemilang yang salah.

Mereka adalah akhbar Cina Sin Chew Daily dan Kwong Wah Yit Poh, pempamer pameran, dan Kementerian Pendidikan.

HTMT dijadualkan berlangsung pada hujung bulan ini di Chukai, Kemaman.

BACA JUGA: Selepas jenuh dikecam, Pas jawab “kekhilafan teknikal yang tidak disengajakan”