Nahas trak FRU: Ini padah menimpa pemandu lori
Direman selama empat hari bermula hari ini.
Itu padah menimpa pemandu lori berusia 45 tahun yang terbabit dalam kemalangan meragut nyawa sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Kilometer 15 Jalan Sungai Manik-Sungai Lampam di Teluk Intan, semalam.
Majistret Naidatul Athirah Azman mengeluarkan perintah reman terhadap suspek yang mempunyai enam rekod jenayah lampau termasuk satu kes rogol itu.
Permohonan reman tersebut dibuat oleh Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin.

Naidatul Athirah membenarkan perintah reman empat hari bermula hari ini hingga 17 Mei ini.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.
Menyalurkan maklumat
Terdahulu, pemandu lori berkenaan dihadapkan ke mahkamah pada kira-kira jam 8.50 pagi dengan berpakaian kemeja hitam dan seluar trek.
Bakri yang turut hadir di mahkamah pagi ini berkata, kehadirannya mencerminkan keseriusan pihak polis dalam menyiasat nahas tersebut yang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kita akan meneruskan siasatan melihat dari sudut aspek kecuaian manusia, isu-isu teknikal dan juga isu persekitaran yang boleh membantu siasatan
“Daripada media sosial, saya telah memantau ramai saksi awam sebenarnya yang melihat kejadian sebelum dan semasa kejadian.
“Jadi, saya menyuruh masyarakat, khasnya masyarakat Hilir Perak untuk membantu, menyalurkan maklumat yang boleh membantu siasatan kita,” katanya, dipetik BH, selepas selesai membuat permohonan reman hari ini.
Dalam masa sama, beliau menyeru orang awam yang menyaksikan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi beliau sendiri di talian 017-8211326 atau tampil ke IPD Hilir Perak.
Dalam nahas ngeri yang berlaku pada jam 8.50 pagi semalam, sembilan anggota FRU dari Unit 5 Sungai Senam yang sedang dalam perjalanan pulang dari penugasan di Teluk Intan ke Ipoh terkorban.
Daripada jumlah itu, lapan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi menghembus nafas terakhir ketika menerima rawatan di hospital.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay mengesahkan pemandu lori tersebut mempunyai satu kes jenayah rogol, satu kes dadah dan empat kes jenayah curi di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Semua kes itu telah jatuh hukum manakala ujian air kencing terhadap suspek didapati negatif.
Selain itu, tiada sebarang unsur penggunaan bahan terlarang termasuk ketum seperti yang tular di media sosial.
BACA JUGA Tauliah mengajar: Ulama Pas didakwa berbohong