Papagomo dakwa banyak akaun kena ‘banned’, tak pakai dah nama Sir Azri
Individu yang dikenali dengan banyak saman fitnah, Papagomo mendakwa sudah berpuluh akaun media sosialnya kena ‘banned’ hinggakan dia tidak menggunakan nama Sir Azri.
Dia atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris, 42, sebelum ini membahasakan dirinya sebagai “Sir”.
“Macam-macam nama aku letak dan semua tetap kena banned juga akhirnya.
“Cepat dengan lambat je mereka buat kerja MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Mulitimedia Malaysia) dan TikTok ni,” katanya menerusi platform X hari ini.

Dakwa bekas anggota polis yang diberhentikan pada 2012 kerana kesalahan tatatertib itu, pihak terbabit kononnya “koyak dan takut” dengannya.
“Itu sebab berusaha nak sumbat aku dalam penjara,” kata Papagomo lagi yang sebelum ini berkata tidak pernah meminta maaf kepada sejumlah pemimpin Pakatan Harapan (PH) apabila berdepan kes saman fitnah.
Pada 30 April lalu, Azri membacakan pernyataan permohonan maaf tanpa bersyarat kepada Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Razarudin Husain dan Mahkamah Tinggi di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong.
Ia berhubung kenyataan Azri pada 14 Januari lalu dan penggunaan gambar imej KPN yang diubah suai pada 15 Januari lepas.
Kenyataan dan foto itu disiarkan Azri walaupun selepas perintah injunksi dikeluarkan mahkamah pada 31 Disember tahun lalu, yang menghalangnya daripada berbuat demikian.
Pernyataan maaf Papagomo itu seperti berikut:
“Saya, Wan Muhamamd Azri bin Wan Deris, dengan suci hati tanpa apa apa syarat memohon maaf kepada mahkamah yang mulia ini, kepada KPN, Tan Sri Razarudin Husain diatas penggunaan perkataan berunsur fitnah dan khianat terhadap plaintif pada terbitan bertarikh 14 Januari 2025 dan penggunaan gambar KPN yang disunting pada 15 Januari 20225.
“Saya mengaku janji tidak akan mengulangi sebarang kenyataan fitnah dan kesat terhadap KPN dan akan memadamkan kenyataan bertarikh 14 dan 15 Januari ini.”
BACA JUGA Apa cerita 13 remaja kes bunuh pelajar kolej vokasional?