Patuhi garis panduan dalam pemilihan ini, Lembaga Disiplin PKR peringatkan

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Datin Paduka Dr Tan Yee Kew mewajibkan semua calon yang bertanding di dalam pemilihan parti dan penyokong parti untuk mematuhi garis panduan berikut dalam tempoh berkempen.

Perkara pertama yang ditegaskan oleh Dr Tan ialah serangan dalaman.

“Hentikan serangan dalaman. Fokuskan kempen kepada perbahasan dasar dan idea.

“Perbuatan serangan peribadi, perbalahan terbuka serta mengeluarkan kenyataan awam yang menghina terhadap anggota parti adalah tidak wajar, tidak boleh diterima, dan hanya akan menggugat perpaduan parti.”

Beliau juga mahu semua pihak mengelakkan diri dari membuat tuduhan tanpa asas yang kukuh.

“Sebarang dakwaan terhadap mana-mana pihak mestilah disokong dengan bukti yang kukuh.

“Tuduhan tidak berasas terhadap mana-mana pihak merupakan satu kesalahan di bawah Kod Tataetika Anggota Perkara 10.2.2 “Membuat kenyataan umum yang tidak benar berbentuk fitnah terhadap mana-mana anggota parti.”

Perkara ketiga ialah politik wang.

“Memberi atau menerima rasuah, hadiah, atau sebarang bentuk habuan bagi meraih sokongan adalah satu pelanggaran terhadap prinsip parti dan peraturan pemilihan.

“Perbuatan sedemikian akan dikenakan tindakan disiplin serta-merta di bawah Kod Tataetika Anggota: Perkara 10.2.5 “Melakukan aktiviti politik wang / rasuah serta menyalahgunakan kuasa sebagai anggota parti.”

Keperluan untuk menghormati satu sama lain

Seterusnya ialah keperluan untuk saling hormat-menghormati.

“Kritikan hendaklah berasaskan kepada dasar atau idea, bukan terhadap individu atau bersifat peribadi.

“Penggunaan bahasa diskriminatif, pembunuhan watak, atau retorik yang mengundang kemarahan akan mencemarkan reputasi parti dan merupakan satu kesalahan selaras dengan Kod Tataetika Anggota Perkara 10.1.6 “Melindungi dan menjaga nama baik Parti.”

Beliau turut memberi amaran bahawa mana-mana anggota yang melanggar etika sehingga merosakkan imej parti akan dikenakan tindakan termasuk penggantungan atau pemecatan.

Akhir sekali Dr Tan menegaskan bahawa perpaduan parti mestilah diutamakan meskipun terdapat perbezaan pandangan. Ia perlu fokus pada isu dan berlandaskan adab dan hormat.

Meskipun tidak menamakan mana – mana pihak, umum mengetahui bahawa bahang pemilihan PKR sudah dirasai.

Ini ekoran tuduhan yang dibuat oleh timbalan presiden Datuk Seri Rafizi Ramli terhadap setiausaha agung Datuk Fuziah Salleh, pengerusi jawatankuasa pemilihan parti (JPP) Dr Zaliha Mustafa dan beberapa tokoh lain di dalam parti.

BACA JUGA: Fuziah ada rekod tersendiri, ketua wanita PKR Pasir Gudang pertahan SUA PKR yang dikritik Rafizi