Wakil rakyat AMANAH diminta jaga keselamatan diri, pusat khidmat

Timbalan Presiden AMANAH, Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menasihati seluruh wakil rakyat terutamanya parti itu supaya berwaspada terhadap potensi tindakan sabotaj pada masa hadapan.

Mengulas insiden melibatkan kereta pusat khidmat Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan yang dirosakkanpada 10 Mei lalu , beliau berkata, hal tersebut perlu dijadikan iktibar.

“Walaupun dikatakan pihak yang bertindak memecahkan cermin kereta milik pusat khidmat itu mengalami ‘masalah mental’, ia tetap merupakan satu bentuk ancaman kepada Ahli-Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Saya khuatir ia akan mendorong kepada pihak lain yang menanam politik kebencian dalam media sosial akan lebih berani melahirkan tindakan fizikal ke arah keganasan.

“Khusus bagi AMANAH yang berhadapan dengan berbagai tohmahan jahat para pembenci seperti melabelkan parti ini sebagai anti-Islam, ‘khadam DAP’ dan fitnah ‘menyokong LGBT, potensi tindakan fizikal atas dorongan kebencian ini berpotensi untuk berlaku,” jelasnya menurut satu kenyataan.

Pada jam 11 pagi, 10 Mei lalu, cermin depan dan belakang serta sisi Toyota Estima iaitu kenderaan kegunaan Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sri Gading dipecahkan suspek yang menaiki motosikal.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani kemudian memaklumkan kes itu sudah diselesaikan.

Beliau berkata, kejadian itu bukan bermotifkan politik sebaliknya suspek mempunyai masalah mental.

Mengulas lanjut, Mujahid yang juga bekas Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, semua Ahli Parlimen dan ADUN, khususnya dari AMANAH perlu sentiasa berhati-hati dan sentiasa memastikan keselamatan mereka terjamin.

“AMANAH mengucapkan terima kasih kepada pihak polis yang mengambil tindakan segera di atas insiden yang berlaku kepada kereta pusat khidmat YB Aminolhuda beberapa hari lalu,” tambah beliau lagi.

BACA JUGA Nak berjuang jangan terpedaya dengan ‘lebai’