Akmal Nasir hilang sabar LRA Bukit Selambau tak siap lagi

Projek Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Selambau, Kedah yang sepatutnya siap tahun ini langsung tidak menunjukkan sebarang perkembangan sejak lawatan terakhir Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir pada Jun tahun lalu.

Dalam lawatan tahun lalu, Akmal meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kelewatan projek, terutamanya kerana pam utama untuk loji masih belum ditempah, yang dijangka mengambil masa enam bulan untuk penghantaran.

Beliau menegur pihak kontraktor dan EXCO negeri secara terbuka, menekankan bahawa kelewatan ini boleh memburukkan lagi masalah bekalan air di Kedah.

Terbaru dalam lawatan ke tapak LRA tersebut baru-baru ini, Akmal menyatakan kekecewaan berikutan tiada perkembangan baru seperti yang dijanjikan pihak kontraktor.

“Saya kena tipu lagi ke. Dulu janji siap April. Sekarang tambah masa (EOT) sampai November 2025. Menteri Besar pula keluar kenyataan siap 2026.

“Kata-kata siapa yang nak dipegang ni? Kita sendiri pun tak yakin bila nak siap sebenarnya. Yang terus tak ada air : rakyat Kedah,” ujarnya.

Dalam video lawatan itu, Akmal menegaskan beberapa perkara termasuk janji pihak kontraktor dan exco negeri untuk memberi komitmen menyelesaikan projek berkenaan.

Beliau tidak menolak kemungkinan projek rawatan air untuk rakyat Kedah tidak dapat disiapkan tahun ini.

Projek menaik taraf LRA Bukit Selambau sepatutnya siap pada 28 Jun 2024, namun sehingga pertengahan Jun, kemajuan kerja hanya mencapai 27.03%, berbanding sasaran 29.83%, menunjukkan kelewatan sebanyak 2.8%.

Akmal menyatakan kebimbangan bahawa projek ini mungkin tidak dapat disiapkan menjelang akhir tahun.

BACA JUGA Akmal Nasir tunjuk tapak projek LRA Sungai Limau habis terbengkalai