Anwar tanya Putin secara berdepan keputusan ICAO dalam insiden MH17

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah bangkitkan keputusan Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) berhubung insiden pesawat MH17 secara terus di hadapan Presiden Rusia, Vladimir Putin dalam pertemuan dua hala mereka di Kremlin malam tadi.

Ekoran itu, Putin telah melahirkan simpati dan takziah kepada keluarga mangsa dan mahu siasatan yang dibuat secara menyeluruh dan rapi serta tidak dipolitikkan.

Namun Anwar berkata kepada Putin, keputusan ini dibuat oleh ICAO, sebuah badan antarabangsa.

Menurut Anwar, Putin menjawab, Rusia dari dahulu sedia bekerjasama sepenuhnya untuk mempastikan laporan sebegitu lebih berwibawa.

“Setakat itu penjelasan yang dia berikan dan saya akan sampaikan kepada keluarga (mangsa). Dia berkata, tidak benar jika dikatakan dia tidak sedia bekerjasama,” beritahu Anwar.

Bagi Anwar, ini (pertemuan dengan Putin) merupakan ruang penting untuk Malahysia mendapatkan penjelasan terus daripada kerajaan Rusia mengenai keputusan ICAO.

Kebetulan pula, kata Anwar, beliau adalah pemimpin kerajaan asing yang pertama berjumpa Putin selepas keputusan dibuat oleh ICAO mengenai tragedi itu.

“Malaysia kekal dengan pendirian bahawa kebenaran dan keadilan harus terus diperjuangkan dengan menuntut kerjasama semua pihak dalam memastikan siasatan serta proses yang bebas dan adil.

“Malaysia akan terus bersuara secara berprinsip dan tegas demi memastikan keadilan buat mangsa dan keluarga mereka yang terkesan dengan insiden pilu ini,” kata Anwar dalam kenyataannya selepas pertemuan dengan Putin itu.

Klik link di bawah untuk dengar penjelasan Anwar mengenainya.

https://www.facebook.com/anwaribrahimofficial/videos/1829550431234742

BACA JUGA PM Anwar ke Rusia, demi Malaysia dan ASEAN