Ilustrasi Jalur Gemilang tak lengkap, MCMC mula siasatan
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memulakan siasatan berhubung satu hantaran di media sosial yang memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang dalam keadaan tidak lengkap.
Menurut MCMC, sebagai sebahagian daripada siasatan, seorang individu telah memberikan keterangan kepada pihaknya dan sebuah telefon bimbit disita bagi membantu siasatan.
MCMC berkata, siasatan berkaitan hantaran itu dilakukan susulan beberapa aduan diterima daripada orang awam.
“Individu-individu lain yang berkaitan akan turut dipanggil sekiranya perlu dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.
“Siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan,” menurut kenyataan itu.
MCMC memaklumkan Jalur Gemilang adalah simbol rasmi negara yang membawa nilai kedaulatan dan perpaduan.
Sehubungan itu, kata MCMC, penggunaan ilustrasi tidak tepat khususnya di platform dalam talian boleh menimbulkan kekeliruan serta menyentuh sensitiviti awam.
Dalam masa sama, MCMC menyarankan semua pengguna media sosial lebih berwaspada dan bertanggungjawab dalam menghasilkan dan memuat naik kandungan khususnya dalam era teknologi moden seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan penjana kandungan digital.
MCMC mengingatkan amalan kawal selia kendiri dan semakan fakta yang teliti, amat penting bagi mengelakkan penyebaran kandungan yang mengelirukan atau berpotensi mengganggu keharmonian masyarakat.
Tambahnya, MCMC komited untuk bertindak tegas terhadap mana-mana pelanggaran undang-undang tanpa mengira kedudukan atau latar belakang individu.
BACA JUGA Teka-teki ‘seram’ Presiden Putin kepada PMX