Akhirnya pemandu lori didakwa atas 9 pertuduhan
Pemandu lori yang terbabit kemalangan ngeri sehingga mengorbankan sembilan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampam di Teluk Intan, 13 Mei lalu, didakwa atas sembilan pertuduhan di Mahkamah Sesyen pagi ini.
Bagaimanapun, tertuduh, Rudi Zulkarnain Mat Radi, 45, mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan terbabit yang dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Berdasarkan pertuduhan, Rudi didakwa memandu lori jenis Hino dengan cara berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian sembilan penama sekitar jam 9.05 pagi 13 Mei lalu di Kilometer (KM) 15 Jalan Sungai Manik di daerah Hilir Perak.
Mahkamah kemudian membenarkan pemandu lori membawa muatan batu itu diikat jamin sebanyak RM6,000 bagi setiap pertuduhan, dan menetapkan tarikh 17 Jun depan untuk sebutan semula kes.
Terdahulu, media melaporkan tertuduh memiliki enam rekod kesalahan antaranya rogol dan dadah.
Malah, pemandu berkenaan juga pernah melakukan kesalahan lalu lintas di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
BACA JUGA Pengasas bersama Ben & Jerry ditahan selepas bantah genosid di Gaza