Pengasas bersama Ben & Jerry ditahan selepas bantah genosid di Gaza
Tular di media sosial detik-detik pengasas bersama jenama ais krim terkenal Ben & Jerry ditangkap kelmarin selepas membantah sokongan Amerika Syarikat (AS) terhadap perang Israel di Gaza.
Penangkapan Ben Cohen dan enam individu lain berlaku ketika Setiausaha Kesihatan AS Robert F Kennedy Jr memberi keterangan kepada penggubal undang-undang mengenai perubahan dalam agensi kesihatan persekutuan.
Jutawan Yahudi AS itu mengutuk pembuat dasar yang mengutamakan bantuan ketenteraan untuk Israel berbanding program domestik penting seperti Medicaid.
“Kongres membeli bom untuk membunuh kanak-kanak di Gaza dan membayarnya dengan mengecualikan kanak-kanak dari Medicaid di AS,” kata Cohen ketika ditahan polis.
Untuk rekod, Medicaid merupakan program terbesar AS yang menyediakan servis perubatan dan kesihatan bagi individu berpendapatan rendah.
Lapor AlJazeera, ketujuh-tujuh mereka telah ditangkap atas tuduhan “bersesak, menghalang atau mengganggu”, menyerang pegawai polis atau menentang penangkapan, menurut Polis Capitol AS.
Polis berkata Cohen dikenakan tuduhan berkerumun, menghalang atau mengganggu, kesalahan kecil yang boleh dikenakan penjara 90 hari atau denda $500 (RM2,142) atau kedua-duanya sekali.
Cohen dan pengasas bersama Jerry Greenfield dikenali lantang mengutuk tindakan Israel ke atas Gaza dan Tebing Barat di tanah suci Palestin.
Menerusi satu wawancara bersama Fox News baru-baru ini, Cohen menempelak AS yang dianggap mempunyai hubungan pelik dengan Israel yang membabitkan Washington “membekalkan senjata bagi genosidnya”.
“Sekarang, apa makna menjadi seorang Amerika adalah kita pengeksport senjata terbesar di dunia.
“Kita mempunyai ketenteraan terbesar di dunia dan menyokong pembunuhan rakyat Gaza,” katanya yang dianggarkan memiliki kekayaan bersih sebanyak AS$150 juta.
BACA JUGA AS$10 bilion sasaran perdagangan, pelaburan Malaysia dengan Russia