AS$10 bilion sasaran perdagangan, pelaburan Malaysia dengan Russia
Malaysia berpotensi meraih hingga AS$10 bilion dalam peluang perdagangan dan pelaburan dengan Russia dalam tempoh lima tahun akan datang apabila kedua-dua negara memperhebat kerjasama dua hala dalam sektor strategik.
Menurut Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Muhammad Kamil Abdul Munim, lawatan rasmi Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Russia telah membuka laluan ke arah kerjasama ekonomi yang kukuh, terutama dalam industri berteknologi tinggi dan perdagangan halal.
“Potensi pelaburan pada masa akan datang sangat besar, dan sekiranya segala-galanya berjalan lancar, kami menjangkakan antara AS$5 bilion hingga AS$10 bilion dalam aliran perdagangan dan pelaburan yang boleh direalisasikan antara Malaysia dan Russia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia di Kremlin Kazan semasa pertemuan Perdana Menteri dengan Rais (ketua) Tatarstan, Rustam Minnikhanov.

Lawatan Anwar ke Kazan adalah peringkat kedua dalam siri lawatan rasmi selama empat hari ke Russia yang bermula di Moscow pada 13 Mei.
Tambah Kamil, kekuatan teknologi Russia terutamanya dalam aeroangkasa, kecerdasan buatan dan pengeluaran halal adalah sejajar dengan keutamaan pembangunan Malaysia.
Jelasnya, antara perkembangan Utama adalah perkhidmatan penerbangan terus oleh syarikat penerbangan Russia, Aeroflot antara Moscow dan Kuala Lumpur yang dijangka disambung semula tidak lama lagi, langkah yang dijangka dapat merangsang pelancongan dua hala dan memudahkan perjalanan perniagaan.
“Ini amat penting, terutama dengan peningkatan ketara ketibaan pelancong antara kedua-dua negara dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini,” kata Kamil.
“Kami melihat permintaan sebenar, dan pembukaan semula laluan ini akan menjadi pemangkin kepada pertukaran ekonomi dan hubungan rakyat ke rakyat,” kata Kamil lagi.
BACA JUGA Patutlah sibuk kira duit kertas RM5, pemandu ambulans terdiam campur terharu