Isu Jho Low: Apa pandangan PMX?
Ada pihak tertentu yang tidak mahu dalang di sebalik skandal 1MDB, Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low berdepan dengan muka pengadilan di Malaysia, dedah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim
Di dalam wawancara rancangan 101 East oleh Al-Jazeera, Anwar bersetuju bahawa ada pihak tertentu yang tidak mahu Jho Low kembali ke Malaysia.
“Saya percaya sedemikian, saya pasti…faktanya ialah bila dia kembali, lebih banyak akan terdedah. Saya tidak mahu perkara ini satu-satunya isu yang perlu dikendalikan oleh Anwar,” katanya.
“Anwar perlu mengendalikan isu tadbir urus dan membebaskan negara dari rasuah. Ia satu perjuangan yang besar dan sukar dan tidak bermula mahupun berakhir dengan 1MDB,” katanya kepada hos rancangan tersebut.
Berhubung keberadaan Jho Low, Anwar berkata pihak berkuasa sedang berusaha sedaya upaya mereka untuk mencari dalang skandal 1MDB tersebut dan beliau sebagai perdana menteri telah mengarahkan agensi penguatkuasa untuk mengambil tindakan yang perlu untuk mengesannya.
“Saya rasa dia penting dan keterangan akan dapat memberi penutup kepada kes (1MDB) ini.”
Berhubung kesukaran yang dihadapi meskipun terdapat bukti bahawa Jho Low berada di China, Anwar berkata: “tiada siapa yang mengetahui keberadaannya.
“Kita tidak boleh mengesahkan sama ada dia di China atau tidak. Kita mengesyaki ada pergerakan. Perkara ini akan lebih rumit jika saya dedahkan lagi.
Dua tahun lalu Anwar pernah mengumumkan rundingan sedang dijalankan untuk membawa Jho Low pulang ke Malaysia.
BACA JUGA: Pengasas bersama Ben & Jerry ditahan selepas bantah genosid di Gaza