Kadar inflasi terus catat penurunan
Inflasi keseluruhan pada suku pertama 2025 Malaysia menurun kepada 1.5 peratus berbanding 1.8 peratus pada suku keempat 2024.
Menurut Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, penurunan itu sebahagian besarnya disebabkan oleh kadar inflasi utiliti yang lebih rendah pada 3.0 peratus berbanding 18.1 peratus pada suku sebelumnya.

Beliau berkata, situasi itu susulan luputnya kesan daripada pelarasan tarif air terdahulu dan caj elektrik yang lebih tinggi bagi isi rumah dengan penggunaan yang tinggi pada suku pertama 2024.
“Walau bagaimanapun, inflasi teras meningkat sedikit kepada 1.9 peratus berbanding 1.7 peratus pada suku keempat 2024.
“Lonjakan ini didorong terutamanya oleh inflasi sewa yang meningkat kepada 2.1 peratus,” katanya ketika sidang media prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Suku Pertama 2025 di ibu negara, hari ini.
Dalam masa sama, Abdul Rasheed memaklumkan unjuran baharu KDNK yang disemak semula akan dimuktamadkan dalam tempoh satu atau dua bulan ini.
Jelasnya, unjuran itu akan dibuat selepas mendapat lebih kepastian mengenai dasar tarif Amerika Syarikat dan hasil rundingan Malaysia dengan negara ekonomi terbesar dunia itu.
“Beberapa data perlu dikaji, selain hasil rundingan semasa yang lebih jelas. Kami baru sahaja membuat unjuran pertumbuhan.
“Kami telah meletakkan andaian yang agak konservatif mengenai tarif AS. Bagaimanapun, pengumuman tarif timbal balas itu berada di luar jangkaan,” kata Abdul Rasheed lagi.
BACA JUGA Siapa Mufti Wilayah Persekutuan selepas Dr Luqman?