Segera lapor diri, ini peringatan kepada pelatih PLKN
Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) mengingatkan mereka yang terpilih menyertai program Latihan Khidmat Negara (PKLM) 3.0 Siri 2/2025 agar melapor diri di kem PLKN selewat-lewatnya hari ini seperti mana telah ditetapkan mengikut surat panggilan rasmi.
Menurut JLKN, kehadiran pelatih yang terpilih adalah diwajibkan. Kegagalan untuk melapor diri tanpa alasan yang munasabah atau tanpa pembuktian masalah kesihatan yang disahkan oleh pakar perubatan akan dianggap sebagai ingkar arahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah peruntukan sedia ada Seksyen 18(1), Akta Latihan Khidmat Negara.
“Mana-mana individu yang tidak menghadirkan dirinya bagi latihan khidmat negara seperti yang dikehendaki telah melakukan suatu kesalahan dan disabitkan boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
“Sebarang usaha oleh pihak lain untuk menghasut atau memujuk mana-mana pelatih agar tidak hadir tanpa kebenaran juga merupakan suatu kesalahan yang serius mengikut Seksyen 19(2),” menurut kenyataan JLKN.
Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Mejar Jeneral Datuk Ya’cob Samiran berkata pendaftaran peserta PLKN berjalan serentak Ahad lalu di dua kem rejimen Askar Wataniah, iaitu Rejimen 505 di Pekan, Pahang bagi pelatih lelaki dan Rejimen 515 di Jalan Buku 5, di sini, untuk pelatih wanita.
Seramai 350 pelatih lelaki dijadualkan melapor diri di Rejimen 505, manakala 200 pelatih wanita dijangka menyertai latihan di Rejimen 515.
Hubungi talian rasmi Unit Pelatih, Bahagian Pengurusan Latihan JLKN di talian, 019-310 1090 (Mej. Muhammad Saufi Hasan) dan 019-333 2467 (Lt. Muhammad Farish Syahmi Zamri (TLDM).
BACA JUGA Siapa Mufti Wilayah Persekutuan selepas Dr Luqman?