Exco dicabar dedah nama pekebun kelapa pandan yang didakwa kroni
Ugutan Exco Kerajaan Terengganu, Datuk Satiful Bahari Mamat untuk mendedahkan nama-nama pengusaha kebun kelapa pandan di Tebing Tembah, Terengganu yang kononnya mereka adalah kroni kini mendapat cabaran agar ia dilaksanakan.
“Dedahkanlah YB, dedahkan senarai nama penuh 96 orang tu yang terkait anak beranak kroni tu,” kata suara latar satu video di Tiktoks yang menjawab ugutan Satiful yang juga Adun Paka itu.
Sebelum ini, Satiful ketika memberikan penjelasan isu kebun kelapa pandan di Kampung Tebing Tembah, Dungun, yang hendak dirampas oleh kerajaan negeri Terengganu berkata, kesemua pengusaha kebun itu adalah saudara mara antara satu sama lain.
“Ia hanya monopoli anak beranak, keluarga dia sahaja. Saya ada senarai lengkap dan kita boleh dedahkanlah jika perlu,” kata Satiful dalam video penjelasan itu.
Satiful membuat kenyataan itu bagi menjelaskan isu kebun kelapa pandan Tebing Tembah yang hendak diambil balik oleh kerajaan negeri untuk diberikan kepada pihak lain.
Menurut Satiful, tanah ini tidak pernah diberikan kepada mana-mana individu dan masih kekal sebagai tanah kerajaan.
Menurut video Tiktoks yang menggunakan nama Tutup Mata dan menggunakan suara AI itu, Satiful perlu sebutkan nama-nama orang yang terlibat itu.
“YB sebut je nama Cikgu Wahid dan lain-lain. Dedahkan maklumat tersebut, biar semua orang ramai tahu dan adu dengan maklumat daripada Kak Long Tutup Mata dan jangan sampai Kak Long dedahkan kesemua RTB di negeri Terengganu yang ada masalah kroni yang beri tanah tiga ekar seorang kepada keluarga dan orang terdekat YB di Kawasan Dun Paka,” kata suara dalam video berkenaan yang telah membuat bebera video berkaitan dengan isu ini.
Tindakan kerajaan negeri untuk mengambl alih tanah kelapa pandan ini amat menyedihkan 96 pemilik kebun ini dan mereka membuat pelbagai demo bantahan bagi mencerita nasib mereka.
Namun yang menariknya, tidak ada pihak lain yang membela tindakan kerajaan ini, semuanya diserahkan kepada Satiful yang merupakan Exco Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pendidikan Tinggi Terengganu itu.
Perjuangan pekebun ini dibela oleh pemimpin Pakatan Harapan dan juga Barisan Nasional di Terengganu.
Pengerusi PH Terengganu, Hasbie Muda yang sebelum ini pernah menjadi calon PH di Dun Paka, tempat terletaknya kampung Tebing Tembah ini berkata, tindakan kerajaan negeri ini akan mengganggu program keterjaminan makanan di Terengganu.

(Hasbie bertemu dengan pekebun kelapa pandan Tebing Tembah)
“Saranan saya, adalah lebih baik Kerajaan Negeri Terengganu cari tanah lain yang masih banyak tidak diusahakan di Dungun ini.
“Dalam usaha kita mengajak rakyat untuk terus terlibat dalam pertanian demi keterjaminan makanan negara, amatlah tidak wajar dan tidak bertanggungjawab tindakan ambil alih tanah pertanian yang telah terbukti memberikan hasil kepada rakyat,” katanya.
Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali pula berkata, walaupun ia milik kerajaan negeri, namun tanah seluas 40 hektar itu telah menjadi hak 96 peserta projek itu dari segi hukum syarak memandangkan mereka mengusahakan tanah itu lebih 18 tahun dengan pengetahuan dan sokongan kerajaan menerusi Jabatan Pertanian.
“Hasil yang mereka (penduduk) dapat hari ini adalah dengan segala kepenatan dan kepayahan mereka.
“Tanah ini diusahakan mereka selama tempoh 18 tahun dan mereka telah mendapat hasil, bahkan mereka usahakan tanah ini dengan bantuan kerajaan dan dari segi hukum syarak, tanah ini milik mereka.
“Walaupun kerajaan negeri mahu mengagihkan tanah ini kepada 600 penduduk dengan alasan lebih ramai yang dapat manfaat berbanding hanya 96 orang (peserta kelapa pandan), ia adalah tindakan yang salah kerana akan mengambil tanah yang telah jadi milik orang pada hukum syarak.
“Ini adalah satu kezaliman dan bercanggah dengan ajaran Islam,” katanya kepada pemberita selepas turun padang meninjau dan bertemu peserta Projek Kelapa Pandan di Tebing Tembah, lapor Utusan di Terengganu pada Jumaat lalu.
BACA JUGA Pelbagai hadiah untuk Hari Guru mewarnai media sosial