Pelbagai hadiah untuk Hari Guru mewarnai media sosial
Seorang pendidik berkongsikan hadiah unik yang diterimanya sempena sambutan Hari Guru kali ini.
Beliau mulanya dilihat membuka satu bungkusan yang kecil menggunakan kertas buku tulis.
“Dihulurnya dengan teragak-agak. Wajahnya agak malu-malu,” tertera kapsyen pada video itu.
Di luar bungkusan itu terlihat catatan murid berkenaan, “Untuk Cikgu Nik. Buka hati-hati ye. Hari Guru”.
Menerusi rakaman video itu, guru lelaki tersebut cuba untuk membuka selapis lagi bungkusan itu.
Namun, beliau kemudian menyedari bungkusan yang diwarnakan dengan isi di dalamnya seperti kekabu bantal itulah hadiah yang diberikan murid berkenaan.
Menjengah ke ruangan komentar, hadiah itu dipanggil squashy yang rupa-rupanya sudah menjadi trend kesukaan kanak-kanak pada masa ini.
Ramai ibu bapa bercerita bahawa anak masing-masing juga pernah menghadiahkan squashy kepada mereka.
“… saya tengok isi dalam tu rupanya kekabu bantal. Tapi dia buat cantiklah siap selotep bagi kemas dan buat bentuk kartun…,” kata seorang pengguna TikTok.
“Dia buat squashy tu. Anak saya pun pernah bagi macam ni kat saya siap tulis I love u mommy. Sebenarnya inilah cara dia nak zahirkn perasaan sayang,” kata seorang ibu lain.
BACA JUGA Matematik paling ramai pelajar gagal, ini saranan ahli akademik kepada KPM