Harga beras import sudah turun, bagaimana harga runcitnya nanti?
Harga runcit beras putih import (BPI) sepatutnya turun susulan penyelarasan harga bahan makanan asas itu kepada RM2,600 per metrik tan di semua pintu gudang Padiberas Nasional Berhad (Bernas).
Penganalisis Nazri Hamdan berkata, penurunan harga runcit BPI dijangka sekitar dalam RM2 hingga RM3 untuk beras 10 kg.
“Macam mana kerajaan nak tentukan harga BPI ini? Bergantung beberapa faktor termasuk harga global beras, kadar tukaran ringgit, stok Bernas dan juga margin keuntungan Bernas.
“Harga global pasaran beras sekarang ini sudah jatuh sejak awal tahun ini. Sepanjang tahun ini dijangka harga beras global akan kekal rendah.
“Namun, ada satu persoalan penting, apabila harga BPI ini turun kepada RM2,600 per metrik tan, sepatutnya harga beras runcit pun turun.
“Dengan kejatuhan harga BPI di pintu gudang Bernas, kita boleh jangka harga BPI akan turun sekitar dalam RM2 hingga RM3 untuk pakej 10 kg,” katanya.
Untuk rekod, penetapan harga BPI kepada RM2,600 per metrik tan yang berkuat kuasa pada 15 Mei lalu adalah pelarasan kali kedua selepas penurunan harga pada 1 Disember tahun lalu daripada RM3,000 kepada RM2,800 per metrik tan.
BACA JUGA Pelbagai hadiah untuk Hari Guru mewarnai media sosial