Ini sebabnya CFO Bursa Malaysia letak jawatan
Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Bursa Malaysia Bhd, Rosidah Baharom meletak jawatan, berkuat kuasa semalam.
Peletakan jawatan Rosidah, 56, adalah atas sebab kepentingan peribadi, menurut makluman Bursa Malaysia.
“Lembaga, melalui jawatankuasa pencalonan dan ganjaran, sebelum ini telah memulakan usaha untuk mengenal pasti dan melantik CFO baharu syarikat .
“Pengumuman mengenai pelantikan baharu akan dibuat dalam masa terdekat,” kata pengendali bursa tersebut.
Sehubungan itu, Naib Presiden Eksekutif Kewangan Kumpulan dan Perkhidmatan Korporat, Rasmona Abdul Rahman dilantik sebagai pemangku CFO berkuat kuasa pada tarikh yang sama.
Rosidah yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda dari University of East Anglia, United Kingdom telah berkhidmat sebagai CFO sejak 12 Ogos 2014.
Beliau berpengalaman lebih 30 tahun dalam industri kewangan, khususnya dalam bidang perancangan korporat dan kewangan strategik.
Menurut MarketScreener UK, Rosidah memiliki kira-kira 0.03% saham dalam Bursa Malaysia, bersamaan 237,400 unit saham, dengan nilai anggaran sekitar USD 406,028 setakat April lalu.
BACA JUGA Pengerusi BN ingatkan tiada pihak anggap parti sebagai dominan