Satu dari tiga remaja di Terengganu alami obesiti

Satu daripada tiga orang golongan remaja di Terengganu menghidap obesiti atau berat badan berlebihan.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Kasemani Embong, berkata seramai 988,000 atau 76 peratus penduduk di Terengganu menghidap obesiti.

Jelasnya, jumlah penghidap obesiti di negeri itu meningkat daripada 790,400 atau 60.8 peratus dalam tempoh 12 tahun bermula pada 2011 hingga 2023.

Menurutnya, kadar berat badan dan obesiti dalam kalangan remaja kekal pada tahap 29 peratus dalam tempoh 10 tahun bermula pada 2012 hingga 2022.

Dr Kasemani berkata, punca utama menyebabkan golongan remaja mengidap berat badan berlebihan atau obesiti adalah kurang melakukan aktiviti bersenam.

Jelasnya, kajian mendapati golongan remaja lebih banyak menghabiskan masa dengan menggunakan gajet dan media sosial, berbanding melakukan senaman bertujuan membakar lemak dalam tubuh.

“Pengambilan gula berlebihan dalam makanan dan minuman turut menyumbang kepada obesiti yang boleh menyebabkan risiko kepada diabetes, penyakit jantung dan pelbagai komplikasi lain,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, masyarakat disaran melakukan perubahan gaya hidup aktif terutama melakukan senaman ringan termasuk berjalan sambil beriadah, menaiki tangga dan menyertai aktiviti komuniti aktif secara fizikal bagi mengurangkan risiko obesiti.

BACA JUGA Lagi detik buat penyokong Pas, PN tambah ‘sakit jiwa’ dengan PMX