Pembekal pula buka mulut, sahkan projek MyKiosk telus tiada ‘favouritism’

Seorang pembekal bagi projek MyKiosk menyuarakan rasa kesal apabila nama syarikatnya digunakan dalam siri kritikan terhadap kerajaan, menegaskan dia hanyalah pembekal yang tidak terlibat dalam proses tender mahupun sebarang rundingan dengan kementerian.

Melalui hantaran di platform X, pengguna akaun @AbdullahSazili berkata, dia tidak bersetuju apabila nama syarikatnya digunakan sebagai modal untuk menghentam kerajaan tanpa melihat kedudukan sebenar.

“Aku faham korang nak buat semak dan imbang untuk kerajaan sekarang, tapi jangan lah gunakan syarikat aku dan projek aku sebagai medium korang.

“Aku ni hanya sekadar pembekal je. Tak ada kena mengena dalam proses tender ke, rundingan menteri ke dan lain-lain,” katanya dalam satu hantaran tular.

Beberapa pihak mendakwa, syarikat A.D Prima Ventures milik Abdullah Sazili telah mendedahkan bahawa satu unit MyKiosk adalah sekitar RM12,500 hingga RM16,000

Menjelaskan perkara itu, dia berkata harga siling projek yang ditetapkan oleh KPKT adalah sebanyak RM25,000 di mana nilai itu menepati spesifikasi yang ditetapkan.

Namun dalam proses tender, harga yang ditawarkan kontraktor boleh jatuh serendah RM19,000.

Ini kerana kontraktor kebiasaannya akan mengambil margin keuntungan sekitar 30%, bergantung kepada kos sebenar kerana modal ditanggung sendiri oleh kontraktor.

Menyentuh soal integriti proses, dia menjelaskan sepanjang pelaksanaan projek, tiada sebarang bentuk campur tangan tidak wajar daripada pihak kementerian atau pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Projek ini, dana KPKT betul. Harga yang diluluskan RM25,000. Tapi harga tender ada jatuh sampai RM19,000 pun ada. Standard margin keuntungan kontraktor sekitar 30%. Sebab modal pun dari kontraktor juga

“Sepanjang aku buat projek ni, tak pernah ada campur tangan yang tidak adil dari pihak kementerian atau pun majlis.

“BQ-nya clear, tiada favouritism, tiada spec yang merepek,” katanya sambil menegaskan bahawa spesifikasi projek itu menepati nilai peruntukan.

Untuk rekod urusan perolehan sepenuhnya dijalankan di peringkat PBT melibatkan proses sebut harga yang jelas dan teratur.

PBT adalah pihak yang bertanggungjawab melaksanakan pemilihan dan pelantikan kontraktor serta pemantauan kualiti kiosk.

Pemilihan syarikat oleh PBT adalah berdasarkan kriteria seperti kontraktor yang berdaftar dengan CIDB Gred G1 dan G2 yang dilantik melalui sebut harga terbuka.

Sebanyak 349 kontraktor telah dilantik oleh 114 PBT di seluruh negara bagi MyKiosk 1.0. Manakala sebanyak 446 kontraktor telah dilantik oleh 96 PBT untuk pelaksanaan projek ini.

BACA JUGA Juri terkejut tengok pemenang acar buah terbaik rupa-rupanya Permaisuri Pahang