Anwar Ibrahim semakin diiktiraf sebagai jurucakap global umat Islam

Peranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai jurucakap utama dalam membela isu-isu umat Islam di peringkat antarabangsa semakin terserlah apabila beliau terus konsisten membawa suara kolektif memperjuangkan agenda Islam.

Menurut Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH, Raja Kamarul Bahrin Shah, ucapan Anwar yang penuh berimpak dalam Forum Kazan Rusia-Dunia Islam yang berlangsung baru-baru ini menyentuh hati ramai.

Forum tersebut berjaya menghimpunkan sejumlah besar pemimpin dan wakil negara-negara Islam, sekaligus menjadi medan penting dalam merapatkan kerjasama serta emupuk perpaduan dalam kalangan dunia Islam.

“Anwar memetik ayat al-Quran dan kata-kata tokoh agung Tatar terdahulu dalam bahasa Tatar, yang berjaya menyentuh hati dan fikiran para hadirin.

“Beliau menekankan pentingnya kesatuan dan jalinan erat antara negara-negara Islam demi kekuatan kolektif umat.

“Dalam masa yang sama, beliau turut memuji inisiatif Presiden Putin menganjurkan Forum Kazan ini sebagai usaha membina hubungan yang harmoni dengan dunia Islam dalam suasana global yang tidak menentu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kunjungan Perdana Menteri ke Rusia buat kali kedua ini dilihat sebagai bukti komitmen Malaysia dalam memperkukuh hubungan strategik, terutama dengan negara yang memiliki hubungan erat dengan komuniti Islam antarabangsa.

Pada masa sama, Raja Kamarul Bahrin turut diberi ruang untuk menyampaikan ucapan dalam forum tersebut dengan tajuk “Islam dan Alam Sekitar Binaan”.

Dalam sesi itu, beliau mengetengahkan pendekatan Malaysia terhadap pembangunan seimbang iaitu mengejar kemajuan secara lestari dan peka terhadap ekologi.

“Malaysia memiliki potensi besar untuk menjadi peneraju dalam menunjukkan jalan pembangunan yang seimbang secara rohani dan material dalam kerangka Islam, selari dengan konsep Malaysia Madani yang diterajui oleh Anwar sebagai tokoh Islam global masa kini,” ujarnya lagi.

BACA JUGA Pegawai kanan polis di Kelantan didakwa terima rasuah lebih RM13,000 dari kontraktor