‘Kalau boleh kedua-dua calon Timbalan Presiden saya sokong’ – Anwar

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau jika boleh mahu memberi sokongan kepada semua calon bertanding pada pemilihan parti.

Beliau berkata demikian ketika menyentuh mengenai persaingan jawatan Timbalan Presiden dan jawatan-jawatan tertinggi yang lain dalam PKR.

“Kalau ada dua tempat untuk Timbalan Presiden misalnya, dua-dua saya sokong, kalau ada 12 tempat Naib Presiden, semua saya sokong,” katanya ketika merasmikan Pejabat PKR Langkawi hari ini.

Pada masa sama beliau mengingatkan ahli parti agar pemilihan parti tidak menjadi medan permusuhan, sebaliknya harus dihiasi dengan semangat ihsan dan kasih sayang.

Beliau menekankan bahawa mereka yang bertanding adalah pejuang asal yang telah banyak berkorban demi perjuangan parti.

Justeru beliau meminta agar suhu persaingan tidak dipanaskan, sebaliknya segala perbezaan dileraikan dengan baik.

“Sebahagian besar mereka adalah pejuang asal, oleh itu kita jangan tambah tingkatkan suhu kehangatan, kita mesti leraikan dengan baik.

“Walau kita berbeza pendapat dalam suatu perkara, kita tak boleh nafi jasa, khidmat, pengorbanan yang tinggi oleh orang ini,” katanya.

BACA JUGA Nah ini jawapan terhadap 4 fitnah MCA dalam isu MyKiosk