Pemimpin Pas Perak didakwa ingkar arahan Sultan, ceramah di masjid tanpa tauliah?
Dua pemimpin utama Pas Perak didakwa melanggar garis panduan JAIPk apabila memberi kuliah agama di masjid yang berdaftar di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) tanpa memiliki tauliah yang sah.
Perkara itu didedahkan bekas ADUN Titi Serong, Hasnul Zulkarnain yang mendakwa mempunyai bukti kukuh berhubung pelanggaran tersebut.
Menurutnya, dua individu yang terlibat ialah Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Suhaimi Wafir yang juga pensyarah kanan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), dan Setiausaha Pas Perak, Fairuz Hafiz Othman yang merupakan seorang guru di sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Garis panduan yang dipinda pada 2023 dengan perkenan Sultan Perak secara jelas menegaskan mana-mana individu yang tiada tauliah Jabatan Mufti dilarang menyampaikan kuliah agama di mana-mana premis masjid atau surau Jumaat berdaftar di bawah MAIPk,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau menegaskan bahawa tindakan dua pemimpin tersebut bukan sahaja melanggar peraturan agama, malah dilihat sebagai satu bentuk penderhakaan terhadap titah Sultan Perak.
Katanya, sikap biadap dua pemimpin Pas Perak itu amat dikesali kerana Sultan Perak baru sahaja bertitah pada Februari lalu, menekankan kepentingan menjaga kesucian institusi masjid dengan mematuhi garis panduan ditetapkan.
“Tindakan dua pemimpin kanan Pas ini lebih teruk kerana jelas mencabar dan tidak hormat Titah Tuanku Sultan Perak. Mereka berdua selayaknya digelar penderhaka kepada Sultan Perak,” ujarnya.
Hasnul turut memohon agar tindakan tegas diambil terhadap kedua-dua pemimpin Pad itu kerana didakwanya terus memberi kuliah sepanjang Mei 2025 meskipun telah diberi amaran oleh pihak berkuasa agama negeri.
“Saya mohon tindakan keras dikenakan kepada mereka kerana melanggari peraturan walaupun terdapat surat peringatan yg dikeluarkan oleh JAIPk pada 21 April 2025.
“Saya ada bukti yang jelas bahawa mereka tiada tauliah tetapi mereka langgar garis panduan tanpa memikirkan kesan buruk,” ujarnya lagi.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh JAIPk atau Pas Perak berhubung dakwaan tersebut.
BACA JUGA Kerajaan persekutuan lengahkan SOP perlombongan nadir bumi (REE) di Kedah? Ini jawapan Nik Nazmi