Amaran ribut petir di Pantai Barat Semenanjung serta utara Kelantan, Terengganu

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka melanda di Pantai Barat Semenanjung serta utara Kelantan dan utara Terengganu.

Menerusi ramalan cuaca sehingga 4 petang ini, amaran cuaca itu membabitkan keseluruhan Perlis, Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka dan Johor.

Selain itu, amaran yang sama dikenakan di Kedah membabitkan Langkawi, Yan, Kuala Muda, Baling, Kulim dan Bandar Baharu.

Di Perak, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda Kerian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak, Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk dan Hilir Perak.

MetMalaysia memaklumkan cuaca sama diramal berlaku di Kelantan (Pasir Mas, Jeli, Tanah Merah, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai) serta Terengganu (Besut dan Setiu).

Amaran turut dikeluarkan di Negeri Sembilan terutamanya Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah, Rembau dan Tampin.

Bagi Sarawak, amaran sama melibatkan Limbang (Lawas) manakala di Sabah meliputi Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu dan Beaufort) dan Pantai Barat (Papar).

“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” menurut MetMalaysia lagi.

BACA JUGA Ibu bapa jangan kalut, ketahui senarai 71 sekolah laksana PdPR sempena Sidang Kemuncak ASEAN