Boleh jual vape di Selangor? Ini jawapan exco

Kerajaan negeri Selangor belum memuktamadkan sama ada mengharamkan penjualan vape.

Sementara itu kerajaan telah mengarahkan pihak berkuasa tempatan merampas dan menyita sebarang iklan berkaitan produk vape di dalam apa saja bentuk medium pengiklanan.

“Sementara menunggu keputusan muktamad, mesyuarat telah memutuskan agar semua pihak berkuasa tempatan di Selangor mengambil Tindakan segera untuk merampas dan menyita sebarang iklan berkaitan produk vape di mana-mana medium pengiklanan, sama ada fizikal mahupun digital.

“Tindakan ini adalah selaras dengan peruntukan Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023 yang secara jelas melarang sebarang bentuk pengiklanan, promosi dan penajaan berkaitan produk merokok elektronik,” kata Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin dalam satu kemyataan.

Perkara ini diputuskan berikutan satu mesyuarat penyelarasan berhubung cadangan mempertimbangkan pengharaman penjualan rokok elektrik atau vape yang dipengerusikan oleh Jamaliah.

Menurut Laporan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022, hampir 14.9% remaja lelaki berumur 13 hingga 17 adalah pengguna vape.

Johor, Kelantan, Terengganu dan Perlis merupakan antara negeri – negeri yang telah pun mengharamkan vape.

BACA JUGA: Tangguh larangan pamer produk tembakau, vape? Ini penegasan Menteri Kesihatan