Ini bukti negara-negara besar yakin peranan Malaysia dalam keselamatan serantau, kerjasama pertahanan
Perdana Menteri berkata penyertaan aktif negara-negara jiran dan rakan strategik seperti China, India, Korea Selatan, negara-negara ASEAN, Amerika Syarikat (AS) serta Eropah pada LIMA’25 adalah bukti sokongan dan keyakinan global terhadap peranan Malaysia dalam menjamin keselamatan serantau dan memupuk kerjasama pertahanan yang bermakna.
Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Malaysia sebagai sebuah negara maritim yang bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan dan kestabilan rantau ini – dari Lautan Hindi, merentasi Selat Melaka, hingga ke Laut China Selatan.

“Rantau ini kekal sebagai laluan perdagangan strategik dan mesti terus dipelihara daripada sebarang ancaman,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau menyatakan penegasan tersebut ketika berucap pada majlis perasmian Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) malam tadi.

Menurutnya yang juga Menteri Kewangan, tema “Inovasi Hari Ini, Pencapaian Masa Hadapan”, amat bertepatan dengan keperluan semasa.
“Ia menzahirkan kepentingan inovasi teknologi termasuk dalam bidang pertahanan pintar, kecerdasan buatan (AI), dan industri aeroangkasa yang menjadi pemacu utama ke arah masa depan yang lebih selamat dan berdaya tahan,” katanya.

Jelasnya, Malaysia akan terus memperkukuh kerjasama pertahanan serantau dan antarabangsa, serta kekal komited mendukung keamanan global.
“Ini termasuk penyertaan aktif dalam misi pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), memperluas latihan ketenteraan bersama, dan menyokong agenda global berkaitan wanita, kesejahteraan dan keselamatan.
“LIMA’25 bukan sahaja mencerminkan kekuatan pertahanan negara, tetapi juga iltizam kita untuk terus memainkan peranan konstruktif dalam menjamin keamanan dan kemakmuran serantau serta dunia sejagat,” kata Perdana Menteri lagi.
LIMA’25 merupakan pameran terbesar dalam industri maritim dan aeroangkasa di Asia Tenggara sejak dianjurkan kali pertama pada 1991.
Sebanyak 860 pempamer mengambil bahagian dalam edisi tahun ini yang merupakan anjuran bersama antara Kementerian Pertahanan dengan Global Exhibitions and Conferences Sdn Bhd (GEC).
BACA JUGA Pas PN, MCA saja marah kerajaan Madani bantu rakyat, tiga peniaga ini bersyukur adanya MyKiosk