Pas PN, MCA saja marah kerajaan Madani bantu rakyat, tiga peniaga ini bersyukur adanya MyKiosk
Hanya Pas atau Perikatan Nasional (PN) dan MCA sahaja yang dilihat marah dengan usaha kerajaan Madani melalui Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) membantu rakyat melalui MyKiosk.
Sebaliknya, rakyat terutamanya peniaga kecil berkongsikan rasa syukur mereka kerana berpeluang menikmati pendapatan selesa hingga ada mencecah RM5,000 sebulan dengan hanya menyewa unit kiosk serendah RM120 sebulan.
Hal itu dikongsikan seorang pengguna TikTok, bang_kebun yang sempat menemubual tiga peniaga MyKiosk di Pantai Robina dekat Teluk Ayer Tawar di Seberang Perai Utara, Pulau Pinang pada 18 Mei lalu.
Seorang peniaga kacang rebus memberitahu beliau memperoleh pendapatan yang berbaloi terutamanya pada Sabtu dan Ahad sejak lapan bulan berniaga di MyKiosk.
“Dulu berniaga pakai kanopi. Sekarang, barang niaga boleh simpan dalam kiosk,” katanya.
Hasil pendapatan yang lebih baik diperoleh apabila berniaga di MyKiosk juga diakui seorang peniaga lokching bakar.
“Alhamdulillah. Secara kasarnya, saya boleh dapat RM3,000 sebulan.
“Saya dapat kiosk selepas Aidilfitri tahun lalu. Sebelum ini pakai kanopi saja,” katanya.
Sehubungan itu, wanita berkenaan turut meluahkan rasa syukur kerana lokasi berniaga di situ juga selesa ditambah dengan pemandangan pantai yang cantik.
“Terima kasih kepada kerajaan kerana memberi kami peniaga-peniaga kecil peluang untuk menambah pendapatan.
“Peniaga-peniaga kecil tidak mampu untuk menyewa kedai yang mahal,” katanya lagi.

Sementara itu, seorang peniaga minuman boba berkata, beliau kini mampu menjana pendapatan secara kasar antara RM4,000 hingga RM5,000 sebulan.
“Sehari dapat lebih RM100 hingga paling tinggi lebih RM200. Kiosk guna tenaga solar. Lazimnya, hujung minggu dapat ramai pengunjung,” katanya.
Hasil tinjauan tersebut, pemilik akaun TikTok bang_kebun berpendapat golongan peniaga kecil terbukti mendapat manfaat daripada inisiatif KPKT melalui MyKiosk dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.
“Berbaloi sangat kerajaan membantu peniaga-peniaga kecil di sini untuk menambah pendapatan.
“Dengan adanya MyKiosk ini, mereka boleh berniaga dengan lebih selesa tanpa sebarang gangguan,” kata beliau lagi.
BACA JUGA ‘Kalau boleh kedua-dua calon Timbalan Presiden saya sokong’ – Anwar