Nga Kor Ming nak jemput Azam Baki datang ke pejabat, apa maksudnya?
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata beliau mahu menjemput Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk datang ke pejabatnya.
Kenyataan beliau itu boleh ditafsir sebagai kesediaan untuk disiasat ekoran pertikaian isu projek MyKiosk.
Beliau berkata, projek MyKiosk ini telah dipolitikkan oleh pihak tertentu untuk memporak-perandakan Kerajaan MADANI.
“Saya hendak jemput Tan Sri Azam Baki datang ke pejabat untuk minum teh,” katanya kepada pemberita tadi.
Pada masa sama Nga berkata beliau akan membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung penyebaran video fitnah berkait projek MyKiosk.
Pihaknya menerusi Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) telah diarahkan untuk mengesan TikToker dan mereka yang didakwa menyebarkan berita palsu berhubung isu tersebut di media sosial.
“Kita akan membuat laporan kepada SKMM di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 (Akta 588) dalam masa terdekat.
“Langkah ini bagi membolehkan individu atau TikToker yang membuat berita fitnah dikenakan tindakan undang-undang terhadap dakwaan projek MyKiosk,” katanya lagi.
BACA JUGA Menjelang Pemilihan PKR, ini penegasan Anwar