Nik Nazmi ikut langkah Rafizi untuk letak jawatan?

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad enggan mengulas sama ada beliau akan menuruti langkah Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli untuk meletakkan jawatan dari Jemaah Menteri sekiranya tumpas dalam sesi pemilihan PKR Jumaat ini di Johor Bahru.

Penyandang jawatan timbalan presiden Rafizi sudahpun mengumumkan bahawa beliau akan berundur sekiranya tewas di dalam pemilihan.

Nik Nazmi yang juga naib presiden PKR dan anggota kumpulan HIRUK memilih untuk mengunci mulut.

“Kita tunggu pemilihan nanti,” katanya ringkas enggan mengulas lanjut.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Jawatankuasa Khas Konflik Manusia-Gajah, di sini, hari ini.

Nik Nazmi telah mengumumkan akan mempertahankan jawatan naib presiden PKR pada 22 April setelah gagal mempertahankan jawatan ketua cabang Setiawangsa. Beliau tewas kepada Datuk Afdlin Shauki.

Rafizi sebelum ini dilaporkan berkata pengundurannya hanyalah dari barisan Jemaah Menteri dan tidak melibatkan pengosongan kerusi parlimen Pandan.

BACA JUGA: Menjelang Pemilihan PKR, ini penegasan Anwar