Dr Dzulkefly pertegas komitmen Malaysia perkasa sistem kesihatan di pentas dunia

Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan komitmen Malaysia untuk memperkukuh sistem kesihatan awam menerusi penjagaan berterusan dalam ucapannya di acara sampingan Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-78 (WHA78) di Geneva.

Dalam sesi bertemakan Memperkukuh Penjagaan Berterusan untuk Mencapai Liputan Kesihatan Sejagat (UHC), beliau berkongsi pengalaman Malaysia dalam membina sistem kesihatan yang inklusif, mudah diakses dan berdaya tahan.

“Hari ini lebih 98 peratus isi rumah di Malaysia berada dalam jarak lima kilometer dari fasiliti kesihatan awam dan indikator kesihatan utama terus menunjukkan peningkatan.

“Ini termasuklah jangka hayat yang lebih panjang serta penurunan ketara dalam kadar kematian ibu dan bayi,” katanya dalam satu perkongsian di Facebook.

Dr Dzulkefly turut mengakui cabaran yang dihadapi sektor kesihatan seperti peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD), populasi yang semakin menua serta tekanan terhadap pembiayaan awam.

Justeru itu, Malaysia sedang menumpukan kepada tiga teras utama dalam memastikan penjagaan kesihatan berterusan:

  1. Penjagaan kesihatan primer sebagai asas, termasuk kerjasama sektor awam dan swasta serta memperluaskan akses saringan kesihatan kepada komuniti berpendapatan rendah.
  2. Transformasi kesihatan digital – Membangunkan sistem ‘Satu Individu Satu Rekod’ secara nasional, bermula dengan pelaksanaan sistem rekod perubatan elektronik (EMR)
  3. Perancangan tenaga kerja kesihatan khususnya menangani isu agihan sumber manusia yang lebih seimbang dan pembinaan kapasiti di kawasan pedalaman.

Beliau turut menekankan bahawa reformasi kesihatan yang sedang dilaksanakan adalah sebahagian daripada gagasan Malaysia MADANI yang menekankan keadilan, maruah dan kelestarian.

“Penjagaan berterusan bukan sekadar strategi kesihatan, tetapi ia adalah janji bahawa tiada siapa akan dipinggirkan dalam perjalanan kesihatan mereka,” ujar Dr Dzulkefly di hadapan delegasi antarabangsa.

Penyertaan Malaysia dalam WHA78 dilihat sebagai bukti kesungguhan negara dalam mendepani cabaran kesihatan global serta memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam mencapai matlamat kesihatan sejagat.

BACA JUGA Pemandu lari tinggalkan kereta ketika diserang gajah mengamuk di Gerik