Pemandu lari tinggalkan kereta ketika diserang gajah mengamuk di Gerik
Sebuah kereta mengalami rosak teruk selepas diserang seekor gajah yang mengamuk di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, malam tadi.
Rakaman kereta jenis Toyota Vios berwarna putih yang rosak teruk di bahagian depan dan belakang kenderaan tular di TikTok selepas dimuat naik pengguna akaun @Dinazahra9293
Ada beberapa komen mendakwa punca insiden berkenaan adalah kerana beberapa buah kenderaan yang berada di hadapan kereta terbabit tidak memberhentikan kenderaan sewaktu gajah tersebut ingin melalui kawasan itu.
Menurut kenyataan Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood, dalam kejadian sekitar pukul 8.15 malam itu, Toyota Vios yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 39 tahun telah diserang beberapa ekor gajah liar ketika melalui jalan berkenaan.
Namun, kenyataan itu tidak menyebut tentang dakwaan ada kenderaan lain yang melintas ketika gajah tersebut berada di atas jalan raya.
Siasatan di lokasi kejadian mendapati pemandu kereta terbabit daripada arah Jeli menuju ke Gerik.
“Bagaimanapun, sewaktu tiba di laluan terbabit dia (pemandu) telah nampak sekumpulan gajah sedang melintas di atas jalan raya.
“Pemandu terbabit bertindak memberhentikan kereta dan mematikan lampu serta terdengar bunyi hon kenderaan dari arah belakang.
“Tiba-tiba, tiga ekor gajah telah menghampiri kereta dan pemandu terbabit yang berada dalam keadaan panik telah bertindak keluar dari kereta untuk menyelamatkan diri,“ katanya dalam satu kenyataan pagi ini.
Beliau berkata, selepas gajah-gajah itu beredar, pemandu berkenaan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik untuk membuat aduan pada jam 11.36 malam.
“Susulan kejadian itu, kereta terlibat telah mengalami kerosakan pada bahagian hadapan dan belakang, sisi kanan dan kiri namun pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan mematuhi nasihat pihak berkuasa antaranya tidak membunyikan hon atau menggunakan lampu tinggi serta mengambil langkah-langkah keselamatan lain apabila berhadapan dengan gajah,“ jelasnya
BACA JUGA Saya bukan nak serang Kedah, saya nak selesaikan isu air – Akmal tegur