Howard Lee cabar MCA buat demo di tapak MyKiosk, bawa usul ke Parlimen

Ahli Parlimen Ipoh Timor, Howard Lee Chuan How mencabar Ahli Parlimen Tanjung Piai, Wee Jeck Seng untuk mengajak ahli-ahli MCA mengadakan demonstrasi di mana-mana tapak MyKiosk jika benar projek itu tidak mempunyai ketelusan.

Beliau berkata, tuduhan wakil rakyat MCA itu bahawa “kos melebihi harga pasaran” adalah naratif terpesong, jahat dan berniat buruk.

“Mari kita lihat, siapa yang akan ikut? Rakyat tidak bodoh, mereka menilai melalui tindakan, bukan laungan kosong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Howard mempersoal jika benar dakwaan dilemparkan Wee, mengapa wakil-wakil MCA dalam majlis perbandaran yang meluluskan MyKiosk 1.0 dan 2.0, berdiam diri?

“Kalau benar ada penyelewengan, itu tanda jelas bahawa MCA gagal menjalankan tugas pengawasan. Maka mengikut logik Yang Berhormat sendiri letak jawatanlah.

“Yang lebih lucu, jika benar kos melebihi pasaran itu satu bentuk salah laku jenayah mengapa tidak berani buat laporan polis?

“Demonstrasi pun tak berani anjur. Di majlis perbandaran pun gagal bangkitkan. MCA hari ini benar-benar sudah hilang arah dan erti kewujudan,” tempelaknya.

Pada masa sama, beliau mengajak Ahli Parlimen MCA itu membawa isu tersebut ke Parlimen untuk membuktikan siapa bercakap benar dan siapa yang memfitnah.

“Saya cadangkan kita masing-masing kemukakan soalan Menteri, soalan lisan, dan soalan khas di Kamar Khas.

“Kita mohon kepada Yang Dipertua Dewan supaya kedua-dua kita, Ipoh Timor dan Tanjung Piai diberikan ruang soal jawab dalam sesi yang sama. Biar menteri jawab kepada kedua-dua kita secara langsung.

“Biar seluruh negara melihat dan menilai sendiri siapa bercakap benar, siapa menabur fitnah; siapa perjuang rakyat, siapa cuma mahu kembali jadi menteri,” tambahnya.

BACA JUGA Dr Dzulkefly pertegas komitmen Malaysia perkasa sistem kesihatan di pentas dunia